Meskipun menutup aurat merupakan kewajipan, tetapi ia memerlukan tekad yang kuat untuk seseorang individu itu berubah ke arah kebaikan dan tidak lagi menoleh ke belakang. Itulah keazaman pelakon, Puteri Sarah yang juga merupakan isteri kepada Syamsul Yusof. Menurutnya, sekali sudah berhijab, dia akan terus kekal berhijab. Tiada istilah membuka hijab kembali di dalam kamus hidupnya.

2018 menandakan sudah 5 tahun Puteri Sarah mengenakan hijab dan dia akui kini semakin selesa dengan imejnya ini. Ketika hadir ke Kumpulan Media Karangkraf, Hijabista sempat bertanya tentang pengalaman hijrahnya.

Sejak bila Sarah mula berhijab?

Saya mula berhijab sejak tahun 1 Januari 2013. Pada awalnya agak kekok, lama-kelamaan saya semakin selesa dan saya tidak nekad untuk tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Apakah faktor yang mendorong Sarah untuk berhijab?

Pada waktu itu, memang sudah lama saya berniat untuk berhijab. Cuma keadaan sekeliling tidak membantu saya untuk berubah. Namun, pada tahun 2013, saya memang betul-betul nekad untuk berubah. Kebetulan, adik saya sudah pun berhijrah dan ia menguatkan lagi hati saya untuk berhijab. Dan saya tidak tahu mengapa, pada tahun 2012, saya banyak diberi tawaran penggambaran yang memerlukan saya untuk berhijab. Mungkin itu merupakan panggilan dari Allah yang mengajak saya untuk berubah.

IKLAN

Apakah perasaan Sarah saat pertama kali memakai hijab?

Pada waktu itu, saya dipanggil untuk menjadi model muslimah bagi butik Najjah. Saya agak rapat dengan pemilik butik Najjah dan jenama ini juga banyak menaja pakaian serta hijab sekiranya terdapat sebarang penggambaran yang memerlukan saya bertudung. Itulah kali pertama saya menjadi model muslimah. Selepas tamat sesi fotografi, pemilik butik Najjah menghadiahkan saya tudung dan saya memang tidak tahu bagaimana untuk memakainya. Jadi, mereka ajarkan saya cara memakainya dan saya terus pakai tudung tersebut sehingga tiba di rumah. Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, saya rasa sangat selesa berhijab dan tiada rasa untuk membukanya langsung. Tiba di rumah, saya bertanya pendapat ibu bapa saya jika saya mahu memakai tudung seperti ini untuk selamanya. Mereka berdua tentunya bersetuju dan melihat persetujuan mereka, saya tidak fikir panjang lalu terus membuat keputusan untuk berhijab.

IKLAN

Bagaimana dengan penerimaan keluarga Sarah?

Tentunya mereka sungguh gembira melihat perubahan saya terutamanya ayah saya. Ayah saya merupakan seorang tabligh dan apabila saya meminta pendapat mereka, ayah saya terus bersetuju dan berdoa agar saya kekal berhijab sampai bila-bila. Alhamdulillah, berkat doa mereka akhirnya saya berubah ke arah yang lebih baik.

IKLAN

Di mana agaknya Sarah belajar menggayakan tudung?

Pada permulaan saya mula berhijab, saya memang tidak berapa tahu bagaimana mahu menggayakan tudung. Jadi, saya memilih untuk memakai instant shawl. Bila ada sebarang penggambaran, jurusolek yang akan pakaikan tudung untuk saya. Pada tahun 2013, saya berhenti daripada dunia lakonan dan kerja di sebuah butik selama dua tahun. Dari situ, saya mula belajar bagaimana untuk berfesyen dan menggayakan hijab.

Idola Sarah dalam berfesyen?

Saya lebih banyak mengikuti hijabi-hijabi yang berasal dari Middle East. Saya sukakan gaya mereka yang tetap menutup aurat walaupun berfesyen. Tetap memakai baju serta tudung yang labuh. Sangat cantik dan sopan!

Nasihat Sarah kepada mereka di luar sana yang baru berhijab.

Sewaktu saya mula berhijab, tidak ramai yang berhijab kerana mereka takut tiada tawaran lakonan. Tetapi pada saya, saya tidak memikirkan itu semua. Saya hanya mahu berubah. Alhamdulillah, selepas berhijab, semakin banyak tawaran yang datang sehingga saya terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan kerana pada waktu itu saya sudah mahu berhenti daripada industri ini. Nasihat saya, jangan berhijab hanya sekadar menutup kepala sahaja. Pakaian dan perangai pun perlu dijaga juga. Malu itu tetap perlu ada pada seorang wanita.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI